KUALA LUMPUR – Ternyata Parti Amanah Negara (PAN) bakal menjadi ancaman terbesar buat PAS untuk mengekalkan pengaruhnya dalam sebilangan masyarakat Islam negara ini.
Ia berikutan parti Islam baharu tersebut mendakwa berjaya menarik perhatian ramai pihak termasuk tokoh-tokoh ternama PAS menyertai parti tersebut.
Ketua PAN Kawasan Pasir Salak, Khairol Fikri Amin berkata, antara tokoh terbabit Ustaz Ishak Shaari, Anwar Abdillah dan Ustaz Syamsul Alauddin.
“Ishak pernah memegang banyak jawatan di semua peringkat dalam PAS. Syamsul pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Salak dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak.
“Anwar pula seorang tokoh akademik dalam bidang pendidikan dan kini bertugas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Khairol Fikri berkata, di peringkat awal penubuhan PAN, hanya beberapa individu menyatakan kesudian untuk membantu menggerakkan parti baharu itu.
Namun, katanya, kini PAN Kawasan Pasir Salak berada di tahap yang cukup bersedia untuk menjadi satu wadah baru menggalas harapan ummah.
Dakwanya, ia berikutan pendekatan PAN yang lebih progresif dan inklusif serta selaras dengan kehendak semasa.
“Kami mengalu-alukan semua pihak sama-sama dalam perjuangan PAN yang berlandaskan Islam serta membawa konsep Rahmat Untuk Semua,” katanya. – MYNEWSHUB.CC