SEORANG pekerja yang sedang menyelenggarakan pentas untuk konsert bintang popular Taiwan, Jolin Tsai, maut selepas tiang lampu pentas tersebut roboh di Nanning, China.
Kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku petang kelmarin di Stadium Guangxi semasa kesemua pekerja penyelenggaraan di sana sedang membuat persiapan untuk konsert yang akan diadakan hari ini.
Menurut laporan media tempatan, anggota penyelamat berjaya menarik keluar 14 orang yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Walau bagaimanapun, seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi maut akibat insiden tragik itu.
Oleh yang demikian, pihak penganjur terpaksa membatalkan konsert itu dan memberitahu peminat serta penonton yang sudah membeli tiket boleh menebus wang mereka kembali.
Rentetan daripada kemalangan itu, penyanyi Jolin Tsai turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan meminta kesemua peminatnya berdoa untuk semua orang yang terlibat.
“Mari kita sama-sama berdoa untuk kesemua mangsa,” tulisnya di laman sosial Weibo miliknya.
– Agensi/MYNEWSHUB.CC