PUTRAJAYA – Tekanan membuatkan remaja perempuan yang mengandung anak luar nikah mengambil keputusan di luar kewarasan yang kadang kalanya berakhir dengan kematian, pengguguran tidak selamat atau pembuangan bayi, titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Baginda bertitah kehamilan luar nikah mengakibatkan penolakan sosial daripada keluarga dan masyarakat sehingga mengakibatkan remaja perempuan yang tidak mendapat sokongan serta bantuan sewajarnya pasrah kepada takdir.
“Stigma dan aib mendorong para remaja yang mengandung luar nikah terpaksa pergi ke mana sahaja untuk mendapatkan bantuan atau perlindungan yang bersifat sementara,” titah baginda ketika melancarkan program ‘Generasiku Sayang’ Peringkat Kebangsaan 2015 anjuran Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan melancarkan buku garis panduan ‘Pusat Jagaan Generasiku Sayang’ sebagai panduan kepada agensi berkaitan yang antara lain menyediakan perkhidmatan menyeluruh, berkualiti dan bersepadu bagi memastikan kesihatan remaja hamil serta bayi yang bakal dilahirkan.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.
Raja Zarith Sofiah bertitah masalah kehamilan luar nikah semakin berleluasa ketika ini sehingga mengakibatkan masalah pembuangan bayi dan paling mendukacitakan seolah-olah nyawa manusia tidak lagi bernilai.
Baginda bertitah kejadian itu berpunca daripada pelbagai faktor antaranya pengabaian anak-anak oleh ibu bapa, pergaulan bebas, pengaruh media sosial, urbanisasi, kemiskinan, sumbang mahram dan rogol.
“Dalam dunia masa kini yang penuh cabaran, ilmu keibubapaan sangatlah penting. Penekanan kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif sepanjang hayat dari kecil sehingga dewasa adalah sangat penting,” titah baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah kajian peringkat kebangsaan menunjukkan tahap pengetahuan kesihatan sosial dan reproduktif dalam kalangan remaja di Malaysia amat kurang, menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial.
Mengenai program ‘Generasiku Sayang’, baginda berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan program itu berjalan lancar demi membentuk generasi masa hadapan yang sihat, sejahtera dan produktif.
Menerusi program ‘Generasiku Sayang’, Kementerian Kesihatan menyediakan tempat perlindungan dan penjagaan kepada remaja serta wanita yang hamil tanpa nikah dan bayi yang bakal dilahirkan.
Program itu bertujuan mewujudkan kesedaran agensi-agensi berkaitan dan masyarakat mengenai kehamilan luar nikah selain menjalin kerjasama dan intergrasi menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan di antara kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai isu kehamilan luar nikah.
Kira-kira 500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kepimpinan tertinggi agenis-agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta, ibu bapa dan pelajar menghadiri majlis itu. – BERNAMA