MELAKA – Institusi pendidikan perlu mengolah semula teknik pembelajaran dan pengajaran mereka agar bersesuaian dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Beliau berkata ia perlu beralih daripada model penyampaian berskala besar kepada model inovasi yang dipacu oleh teknologi.
“Sebagai contoh, pembelajaran atas talian boleh menyumbang kepada pengurangan kos, penambahbaikan kualiti dan peningkatan akses,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena ‘Malam Anugerah CIDOS Inspiring Learning (eDOLA2015)’ di sini, malam Rabu.
Empat politeknik menerima anugerah hasil projek e-Pembelajaran yang dijalankan mereka iaitu Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Merlimau, Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. – BERNAMA