KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa peluang untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatannya sebelum pilihan raya umum 2018 adalah tipis.
Ini meskipun terdapat seruan agar satu gerakan ‘kuasa rakyat’ menyingkirkan pemimpin Malaysia itu.
Dr. Mahathir, 90 tahun; yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, sebelum ini menggesa Najib mengundurkan diri susulan dakwaan rasuah dan salah pengurusan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun, Dr. Mahathir berkata ramai anggota parlimen UMNO melindungi pemimpin tersebut, sambil beliau mengecam mereka kerana menurutnya, golongan itu tidak berani bersuara.
“Mereka semua takut dan hanya pentingkan keselamatan diri sendiri. Mereka bukan memelihara kesejahteraan parti dan negara. Mereka hanya pentingkan diri sendiri,” katanya kepada agensi berita antarabangsa Reuters dalam wawancara di pejabatnya di sini.
“Nampaknya, beliau (Najib) mungkin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal ini tamat. UMNO menerima beliau kerana selesa dengan beliau, saya rasa beliau akan kekal lagi sebagai perdana menteri,” ujarnya.
Dr. Mahathir mula mengkritik pentadbiran Najib pada 2013 – malah terus mengkritik dasar-dasar ekonomi kerajaan dan hubungan mesra Malaysia dengan negara-negara Barat.
Bekas Presiden UMNO itu menggesa Najib meletak jawatan selepas media melaporkan pada Julai lalu bahawa siasatan terhadap 1MDB mendapati hampir AS$700 juta disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu.
Najib bagaimanapun menafikan beliau mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi.
Pihak pembangkang pada Khamis menyeru semua anggota Parlimen supaya menolak belanjawan tahunan yang akan disampaikan Najib di parlimen bagi menunjukkan mereka tidak yakin dengannya.
Mereka juga cuba untuk mengusulkan undi tidak yakin secara rasmi terhadap Perdana Menteri. Ketua pembangkang, Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengajukan usul undi tidak yakin di parlimen terhadap Najib.
Namun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau sedia mendahulukan usul itu jika pembangkang dapat membuktikan mereka sudah menerima cukup sokongan majoriti ahli.
Dr. Mahathir seterusnya berkata langkah-langkah itu tidak akan menjatuhkan Perdana Menteri, kerana pembangkang tidak mempunyai jumlah anggota yang mencukupi untuk mencabar parti yang memerintah.
Bekas pemimpin itu menambah, beliau percaya mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, boleh memimpin Malaysia, jika Najib berundur pada masa ini.
“Beliau masih mampu memimpin negara, jika beliau menuruti nasihat yang baik, daripada orang yang berpengalaman,” katanya lagi.
Dr. Mahathir juga berkata beliau prihatin dengan laporan bahawa polis sedang menyiasatnya berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam satu perhimpunan membantah pentadbiran Datuk Seri Najib. – Reuters/Mynewshub.cc/HAA