KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di enam kawasan di utara melibatkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang kekal berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus meningkat setakat 1 tengah hari ini.
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 275 diikuti Bakar Arang, Sungai Petani di Kedah iaitu 268.
Empat kawasan lain yang turut mencatatkan peningkatan bacaan IPU berbanding pagi tadi ialah Kangar, Perlis (255); Langkawi (253) dan Alor Setar, Kedah (250)serta Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang (238).
Sementara itu, sebanyak 24 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Tanah Merah, Kelantan (123); Bukit Rambai, Melaka (102); Balok Baru, Kuantan di Pahang (110); Jalan Tasek (158), Sekolah Kebangsaan Pegoh (176), Seri Manjung (175) di Perak; Perai, Pulau Pinang (196) dan Tawau, Sabah (109).
Kawasan lain ialah Kuching (122), Samarahan di Sarawak (128); Banting (113), Kuala Selangor (153), Pelabuhan Klang (158), Petaling Jaya (108), Shah Alam (132) di Selangor; Kuala Terengganu (105); Batu Muda, Kuala Lumpur (105) dan Putrajaya (108).
Dua kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pagi tadi berubah kepada tahap sederhana tengah hari ini iaitu Bandaraya Melaka (100) dan Sibu, Sarawak (99).
Dua puluh satu lagi kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana antaranya Kota Tinggi (62), Muar dan Pasir Gudang, Johor (masing-masing 82); Nilai (96), Port Dickson, Seremban di Negeri Sembilan termasuk Indera Mahkota dan Jerantut,
Pahang (masing-masing 94); Keningau (61), Kota Kinabalu (52), Sandakan (63) di Sabah; Bintulu (85), Kapit (88) di Sarawak; Paka, Terengganu (90) dan Cheras, Kuala Lumpur (94).
Hanya Labuan sahaja merekodkan bacan IPU baik dengan bacaan 46. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. – BERNAMA