DRAMA penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kajang, Selangor yang menjadi viral menerusi laman sosial akhirnya telah berjaya ditemui tidak sampai 24 jam setelah mangsa dilarikan.
BACA: CCTV Budak 5 Tahun Diculik Di Kajang Tersebar
Kanak-kanak kecil itu dibawa pulang dalam keadaan selamat ke pangkuan ahli keluarganya oleh seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, kira-kira pukul 5.35 petang pada Jumaat.
Menurut Nizam, dia terserempak dan menjumpai kanak-kanak tersebut secara kebetulan sedang merayau-rayau di tepi sebatang jalan sambil masih membawa beg sandang kecil yang berwarna hijau.
“Saya cam gambar budak itu dari satu mesej WhatsApp dan mengambil keputusan untuk menghantarnya kembali ke rumah,” ujarnya kepada portal NST Online.
Berdasarkan video penemuan semula kanak-kanak tersebut bersama keluarganya, Nizam sempat memberitahu kepada bapa mangsa, bahawa bukan dia yang menculik kanak-kanak itu.
Bapa kepada kanak-kanak tersebut juga dilihat sempat berbual-bual seketika dengan pemandu teksi berkenaan sebelum mereka masing-masing berpelukan.
Kanak-kanak ini dilaporkan diculik oleh dua lelaki yang pada awalnya berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada ibu mangsa di Jalan Cempaka, Taman Setia, Sungai Chua, Kajang.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang suspek bertindak menangkap mangsa lalu melarikannya mengunakan sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam bernombor pendaftaran palsu WST 2936.
Video CCTV itu kemudian tersebar secara meluas menjadi viral di media sosial dan perbualan hangat netizen. – MYNEWSHUB.CC