KAMPUNG Peddakunta di selatan Telangana di India digelar `kampung janda’. Kenapa? Kerana hanya ada seorang lelaki dewasa yang tinggal di kalangan 35 keluarga di kampung berkenaan.
Tentu ada yang bertanya kemana perginya lelaki lain, jawapannya adalah kerana mereka terbunuh ketika cuba melintas jalan pintas yang dibina melalui kampung tersebut.
Jumlah yang terkorban pula adalah 25 lelaki.
Sejak jalan itu dibina pada 2006, Peddakunta telah dikenali sebagai `kampung janda’ dengan penduduknya yang lain adalah wanita dan kanak-kanak.
Menurut salah seorang penduduk di situ, Kurra Asli yang berusia 23 tahun, kemalangan di jalan pintasan berkenaan telah mengorbankan suami, abang dan bapanya.
“Tiada lagi kaum lelaki untuk menjaga kami,’’ katanya.
Manakala seorang lagi janda pula memberitahu, penduduk kampung telah mendesak kerajaan membina terowong supaya mereka dapat melintas jalan empat laluan itu namun permintaan mereka tidak dipedulikan oleh kerajaan.
“Tiada siapa yang mahu membantu. Mereka hanya datang, merakamkan gambar atau video, kemudiannya terus hilang,’’ kata K. Maani, 38. – Agensi/Mynewshub.cc