GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak kerajaan bertegas mengharamkan terus rokok elektronik atau vape bagi menghalangnya menjadi budaya dalam kalangan rakyat negara ini.
Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, vape sebenarnya juga tidak berbeza dengan rokok tembakau kerana ia boleh menyebabkan masalah ketagihan seterusnya membahayakan kesihatan tubuh perokok.
“Pihak kerajaan perlu sentiasa mengutamakan aspek kesihatan majoriti rakyat walaupun vape mungkin pada masa sama boleh menjana hasil cukai yang besar kepada ekonomi negara.
“Mengenai cukai pula, walaupun cadangan itu baik tetapi jika ikut cadangan cukai itu prosesnya lambat dan mungkin anggota penguat kuasa dan beberapa pegawai cukai perlu mengambil lebih masa.
“Sedangkan e-rokok dan vape ini memang tidak terkawal sekarang, Sehubungan itu kita merayu kepada pihak kerajaan agar bertegas mengharamkan terus vape ini,” katanya kepada stesen penyiaran Astro Awani.
Pada Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika ditemui pemberita di Parlimen berkata, pihaknya sedang serius mengkaji keperluan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape.
Tegas beliau, ini kerana perisa terkandung dalam cecair rokok elektronik berkenaan tanpa disedari turut mempunyai nikotin yang sebenarnya juga sejenis bahan kimia kawalan kerajaan di bawah Akta Racun 1952.
Dalam pada itu kata Subbarow, pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan guru beberapa sekolah rendah serta menengah di Pulau Pinang berkenaan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar.
“Masalah sama turut disuarakan oleh kebanyakan pengusaha restoran dan premis makanan berikutan rungutan pelanggan bukan perokok yang amat tidak selesa dengan asap kuat dihembuskan daripada vape.
“Kerana itu kerajaan perlu bendung gejala perokok tegar di negara ini. Namun jika kerajaan mahu meneruskan cadangan cukai eksais terhadap vape, kerajaan perlu memperhalusi dan mengetatkan undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Sementara itu tegas beliau, sehingga kini, hanya pihak Kementerian Kesihatan sahaja yang dilihat amat lantang tidak bersetuju dengan penggunaan vape berbanding kementerian-kementerian lain.
“Saya harap sokongan yang sama turut akan dizahirkan oleh beberapa kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan.
“Mungkin CAP akan menulis surat langsung kepada semua ahli Parlimen untuk mereka bangkitkan isu ini di Kabinet selain menunjukkan bukti risikonya seandainya ia terus dibenarkan,” katanya.
Ujar beliau lagi, penggunaan rokok elektronik sebelum ini sudah lama diharamkan di Singapura, Argentina, Brazil, Kemboja, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA