WALAUPUN kes penceraiannya masih belum selesai, pelakon Ezany Nizariff mengakui sudah mempunyai kekasih baharu yang dikenali sebagai Datin Paduka K.
“Saya perlu akur bahawa saya memerlukan seorang isteri di sisi untuk menjaga saya, menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Alhamdulillah saya jumpa seseorang yang berfikiran matang dan memahami saya.
“Dia seorang janda yang mempunyai gelaran Datin Paduka. Saya gelarkan dia Datin Paduka K saja,” katanya kepada mStar Online.
Namun Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @Zohri Mohd Nizariff, 41, enggan mendedahkan identiti wanita itu kerana mereka masih lagi di fasa perkenalan.
Dalam pada itu, Ezany memberitahu kes permohonan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap isterinya Lizda Nuryanti Abidin, 32, masih berjalan dan berharap perkara itu dapat selesai dengan segera.
Ezany yang sebelum ini sukar menerima hakikat rumah tangganya bakal berakhir setelah isterinya menfailkan permohonan cerai, akui sudah mula reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap mereka tiada jodoh.
“Saya sudah tidak berdendam dengannya lagi. Bagi saya, biarlah saya teruskan kehidupan tanpa mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan saya dapat.
“Saya pun sudah ada seseorang yang saya cintai. Jadi lebih baik kes (perceraian) diselesaikan dengan segera. Cuma itulah, sudah beberapa kali dia tidak hadir ke mahkamah dan saya pun susah untuk menjejakinya,” ujar Ezany.
Ezany dan Lizda diijabkabulkan pada 1 Julai 2007 dan memiliki dua anak bersama.
Sumber: mStar Online
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=3fTgOEbmqG4]