KUALA LUMPUR – Seramai 50,129 daripada 219,558 warga asing yang diperiksa oleh pihak berkuasa dari Januari hinga 10 November lalu merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafa brahim berkata, PATI terbabit dikesan melalui 8,890 operasi yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.
“Seramai 50,129 PATI dan 656 majikan telah ditahan. Selain itu, sebanyak 28 sindiket berjaya ditumpaskan.
“Tangkapan tertinggi melibatkan warga Filipina seramai 14,097, diikuti oleh warga Indonesia (13,090), Bangladesh (7,410), Myanmar (5,566), Thailand (1,888), Pakistan (1,838), Vietnam (1,816), Nepal (1,624) dan baki negara-negara lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafa berkata, daripada 656 majikan yang ditangkap, 578 majikan adalah warga Malaysia, 31 warga Indonesia, 13 warga Pakistan, 9 warga Bangladesh, dan selebihnya lain-lain negara.
Menurutnya, mereka semua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menggaji, melindungi PATI dan bersubahat serta membenarkan PATI tinggal di premis.
“Dari Januari 2015 sehingga 10 November 2015, seramai 211,771 PATI telah diusir ke negara asal. Jumlah ini adalah PATI dari tahanan Depot seramai 76,967.
“Sementara PATI yang mendaftar pulang secara sukarela melalui Program Serah Diri Secara Sukarela 3+1 adalah seramai 134,804. Ini menunjukkan PATI yang melalui program 3+1 lebih mendapat sambutan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC