IPOH – Sejumlah 8,157 kes demam denggi dengan 22 kematian telah dilaporkan di Perak dari Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 4,456 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan kes itu sebanyak 83.1 peratus.
Beliau berkata sebanyak 22 kematian dicatatkan berbanding 11 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.
“Kes kematian terbaharu yang direkodkan pada 24 Oktober lepas iaitu di Fair Perak di sini,” katanya pada sidang media selepas program gotong-royong dan antidenggi bersama Jabatan Kesihatan Perak di Kampung Tawas, di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, empat daerah mencatat kes denggitertinggi iaitu Lembah Kinta (5,525), Manjung (697), Kuala Kangsar (414) dan Kampar (344).
“Selepas Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua dan Taman Cempaka tidak lagi tersenarai sebagai kawasan panas, tumpuan kini di sekitar kawasan Fair Park yang merupakan kawasan paling lama menjadi kawasan panas penularan wabak denggi,” katanya. – BERNAMA