KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Malaysia tunduk dengan desakan negara-negara asing supaya membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa kononnya negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Australia telah menyuarakan kebimbangan terhadap layanan kerajaan Malaysia kepada Anwar.
“Sekarang ini ramai rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa yang berpendapat tegas bahawa perbicaraan Anwar hanyalah sandiwara kerajaan dan tidak punyai asas keadilan.
“Selain itu terdapat juga pihak-pihak (badan bukan kerajaan) NGO seperti Amnesty International dan tokoh agamawan seperti Syeikh Yusuf Qardawi yang turut menyuarakan kerisauan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2014 setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.
Senario itu menimbulkan kemarahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dengan cuba meraih sokongan negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia supaya membebaskan Anwar.
DAP dan PKR juga dilihat terdesak untuk membebaskan Anwar berikutan perpecahan yang sedang berlaku dalam parti-parti pembangkang Malaysia. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]3rJqfd2T9es[/wpdevart_youtube]