TROPOLI – Anak Muammar Gaddafi, pemimpin Libya yang digulingkan hadir di mahkamah di sini Ahad untuk berdepan tuduhan membunuh seorang pemain bola sepak dan jenayah lain sebelum revolusi tahun 2011 yang menamatkan pemerintahan bapanya.
Hakim menangguhkan perbicaraan Saadi Gaddafi yang diekstradisi dari Niger tahun lalu sehingga 6 Disember, selepas peguamnya memohon lebih masa untuk memeriksa kes anak guamnya itu serta mendapatkan akses kepada dokumen pendakwaan tentera.
Saadi berpakaian seragam penjara biru, duduk dalam kawasan kurungan di mahkamah.
Julai lalu, mahkamah di sini, menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lagi anak Gaddafi iaitu Saif al-Islam dan lapan bekas pegawai rasmi lain kerana jenayah tahun 2011 dalam membendung kebangkitan menentang bapanya yang kemudian dibunuh pemberontak.
Hukuman mati masih belum dilaksanakan walaupun tertuduh termasuk bekas ketua risikan Gaddafi dipenjara.
Sejak penangkapannya selepas kebangkitan tahun 2011, Saif ditahan tentera di bandar Zintan, barat Libya lokasi kerajaan pusat tidak mempunyai kawalan.
Ogos lalu, pendakwa raya berkata, mereka menyiasat video menunjukkan pengawal memukul Saadi.
Ketulenan video terbabit tidak dapat disahkan.
Sejak kejatuhan Gaddafi, Libya menjadi kacau bilau dengan dua kerajaan bersaing dan sekutu serpihan masing-masing bertempur bagi merebut kepimpinan negara itu yang kaya dengan sumber minyak.
Rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih gagal menamatkan krisis terbabit. – Reuters/BH ONLINE