SEEKOR anjing baka Dachshund atau lebih dikenali sebagai anjing ‘sosej’ menjadi hero selepas menyelamatkan nyawa dua kanak-kanak daripada dibaham beruang hitam di Rusia.
Anjing bernama Tosya, dikatakan segera membantu Stas Nagoronov, 8, dan rakannya Nikita Nikonov, 12, yang diserang haiwan liar tersebut sejurus mereka keluar dari sebuah kedai di Amgu, wilayah Primorksy.
“Beruang itu menyerang Stas dahulu, ia menolak dan menggigitnya sehingga jatuh dan cedera. Saya segera berlari ke arah beruang itu dan cuba selamatkan Stas.
“Saya tidak fikirkan diri, saya hanya mahu selamatkan kawan saya,” kata Nikita.
Walau bagaimanapun, tenaga anak kecil itu ternyata tidak mampu melawan beruang hitam berkenaan hingga dia turut menjadi mangsa.
Namun begitu, Tosya yang kebetulan berada di tempat kejadian segera bertindak dan berlari ke arah beruang itu dan menyalak dengan garang sehingga berjaya menakutkannya.
Tosya juga dikatakan telah mengejar beruang terbabit sehingga ia hilang dari kawasan perkampungan itu.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan dan dirawat di sana. Kini mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mujur ada anjing kecil itu, kalau tidak mungkin nyawa dua budak terbabit dah melayang.
Inilah yang dipanggil kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tetapi garang!
– Agensi/MYNEWSHUB.CC