GAMBAR seekor anjing yang setia menemani rakannya yang mati akibat mati dilanggar sebuah kereta di tepi jalan telah mendapat perhatian netizen.
Anjing baka Great Pyrenees itu ditemui oleh orang ramai yang melalui sebatang jalan di Dallas, Texas.
Selepas gambar anjing itu tersebar di laman sosial, sukarelawan segera ke lokasi untuk menyelamatkannya dan menemukan semula haiwan itu dengan pemiliknya.
Anjing itu diberikan kepada sebuah keluarga yang mendakwa ianya haiwan peliharaan mereka yang dinamakan Brian.
Keluarga itu menyatakan anjing berbaka campuran Shepherd yang mati dilanggar itu juga milik mereka dan dipanggil Marley.
Brian dan Marley dikatakan sudah beberapa hari hilang dari rumah.
Sukarelawan yang menyelamatkan Brian, Julie Fennel menyatakan anjing itu begitu setia menanti Marley dan langsung tidak mahu berganjak dari tempatnya.
“Ia duduk di situ seperti tugu dan mengawasi rakannya yang telah mati. Saya terpaksa mengangkatnya masuk ke dalam kereta kerana ia tidak mahu berganjak langsung,” katanya. – Agensi/MYNEWSHUB.CC