KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan tambahan aset baharu kapal peronda luar pesisir (OPV) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih untuk meningkatkan tahap kecekapan dan kesiapsiagaan penguatkuasaan di perairan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Che Hassan Jusoh, berkata dua buah aset OPV sedia ada yang diterima daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah lama dan berusia lebih 30 tahun.
“Kita akan memohon kepada kerajaan untuk membina kapal peronda samudera sepanjang 40 meter dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat helikopter mendarat, sistem radar dan meriam bagi membolehkan APMM menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih berkesan termasuk berdepan sebarang ancaman.
“Kapal baharu itu nanti dijangka mampu belayar di laut selama 21 hari dan dapat membawa lebih banyak bekalan makanan serta minyak berbanding dengan kapal yang sedia ada sekarang yang hanya mampu belayar selama seminggu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sahabat Maritim 2015 APMM di Kampung Beserah Pantai, di sini hari ini.
Che Hassan berkata dengan adanya aset baharu itu nanti keselamatan perairan negara dapat dipertingkatkan sekali gus mengurangkan pelbagai ancaman seperti rompakan ke atas kapal dagang seperti yang berlaku sebelum ini.
Sementara itu, APMM juga dijangka akan memperoleh enam kapal peronda sepanjang 43 meter yang dibina dengan kos RM370 juta secara berperingkat mulai penghujung tahun depan.
Menurutnya kapal tersebut dilengkapi dengan spesifikasi lebih baik selain mempunyai kemudahan yang lebih mantap termasuk meriam 32 mm, kemudahan lokap kecil, bilik siasatan dan tempat penginapan.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Warisan Negara disaran meminda Akta Warisan Negara 2005 untuk membolehkan agensi itu melakukan penguatkkuasaan dan pendakwaan terhadap penjenayah yang mencuri khazanah di perairan negara.
Katanya, kelonggaran akta itu menyebabkan pihaknya berhadapan dengan kesukaran untuk mendakwa penjenayah dalam kes curi khazanah negara dari kapal perang British HMS Repulse dan HMS Princes Of Wales yang karam di berhampiran perairan Pulau Tioman ketika Perang Dunia Kedua.
“Akta yang sedia ada hanya membenarkan tindakan diambil dalam lingkungan 12 batu nautika perairan negara tetapi dalam kes HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, ia terletak 67 batu nautika menyebabkan kita sukar mendakwa penjenayah terbabit.
“Sehubungan itu Jabatan Warisan Negara perlu meminda akta berkenaan supaya ia turut meliputi zon ekonomi eksklusif bagi membolehkan tindakan dan pendakwaan dilakukan terhadap penjenayah yang terlibat,” katanya. – BERNAMA