KUALA LUMPUR – Perdana Menteri New Zealand, John Key dijangka mengumumkan beberapa insiatif baharu termasuk rancangan meningkatkan kapasiti pelaburan dalam ASEAN semasa Sidang Kemuncak Memperingati Hubungan ASEAN-New Zealand, Ahad ini.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 hubungan dialog ASEAN-New Zealand.
Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Dr John Subritzky berkata buat masa ini New Zealand menyumbang NZ$50 juta (RM140.02 juta) setiap tahun untuk pembinaan kapasiti ASEAN dengan majoriti jumlah itu menerusi pemberian biasiswa.
“Kami melihat untuk memperkukuh dan memperluaskan hubungan dengan ASEAN pada masa depan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual ekslusif di pejabat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di sini baru- baru ini.
Inisitiaf tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Pasca 2015 ASEAN-New Zealand yang bakal diluluskan oleh pemimpin pada sidang kemuncak di sini sebagai sebahagian daripada kesinambungan Deklarasi Bersama ASEAN-New
Zealand Sebagai Rakan Kongsi Komprehensif 2010-2015.
Key telah mengesahkan penyertaannya pada Sidang Kemuncak Memperingati Hubungan ASEAN-New Zealand dan Sidang Kemuncak Asia Timur, yang kedua-duanya akan diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 hujung minggu ini.
Subritzky berkata Pelan Tindakan psaca 2015 itu antara lain memberi tumpuan terhadap masyarakat ASEAN dan kemakmuran blok 10 negara anggota itu.
“Bagi masyarakat, kami sedang melihat kepada tawaran kaedah hubungan pendidikan dan biasiswa. Bagi kemakmuran, kita sedang melihat bagaimana kami boleh menyediakan pengalaman dari segi perdagangan, pertanian dan pengurusan bencana,” katanya.
Sementara itu, Duta New Zealand ke ASEAN, Stephanie Lee berkata hubungan ASEAN-New Zealand telah berkembang dengan pesat sejak 1975 daripada tumpuan terhadap bantuan keselamatan kepada hubungan yang lebih luas demi manfaat bersama.
“Dalam perdagangan, nilai dagangan ASEAN dan New Zealand adalah bersamaan dalam tempoh seminggu kini berbanding nilai dagangan dalam tempoh satu tahun pada tahun 1970-an,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama ketika
diminta mengulas hubungan 40 tahun antara New Zealand dan ASEAN.
ASEAN kini merupakan rakan perdagangan keempat terbesar New Zealand dan sumber kelima tersebar pelancongan. Dagangan dua hala dengan ASEAN untuk setahun berakhir Jun 2015 berjumlah hampir NZ$15 bilion (RM42.10 bilion) memihak kepada ASEAN.
Lee berkata antara intipati hubungan antara ASEAN dan New Zealand adalah penyertaan negara itu dalam banyak forum berpaksikan ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Hubungan erat tersebut menyaksikan kesemua 10 negara anggota ASEAN menyokong New Zealand untuk kerusi tidak tetap dalam majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas, kata Lee, yang merupakan duta pertama negara itu khusus untuk ASEAN.
Katanya keputusan mengadakan duta khusus itu merupakan antara hasil Strategi Inc New Zealand ASEAN bagi membantu negara itu menempatkan diri dalam kedudukan lebih baik di rantau ini.
Menurut Lee, strategi tersebut, sebuah pelan tindakan yang dimulakan oleh kerajaan New Zealand, adalah bagi memastikan penglibatan bersepadu dan konsisten dengan ASEAN dalam banyak isu.
“Kami mencari peluang untuk menyokong pembinaan komuniti ASEAN dan integrasi melalui Komuniti ASEAN. Kami mempunyai beberapa idea mengenainya yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, John Key di sini,” katanya.
New Zealand menjadi rakan dialog ASEAN pada 1975. Negara itu bersama-sama Australia dan Jepun merupakan antara rakan dialog pertama mengadakan sidang kemuncak bersama ASEAN pada 1977. – BERNAMA