KUALA LUMPUR – Orang ramai di kawasan banjir dinasihati supaya mengehadkan aktiviti memuat naik gambar, video atau pesanan suara di laman sosial bagi mengurangkan kesesakan talian komunikasi di kawasan berkenaan.
Pengerusi Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Megat Ishak Ma’amunor Rashid berkata, langkah itu bagi mengelakkan komunikasi untuk operasi-operasi menyelamat oleh pihak berkuasa terjejas.
“Pengguna dinasihatkan tidak berbual terlalu lama dan cuba menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung kerana ia tidak banyak menggunakan rangkaian jalur lebar (bandwidth) dan tidak memberi bebanan ke atas infrastruktur komunikasi.
“Jika perlu, pengguna disarankan menggunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan penting sahaja agar dapat memberi laluan kepada komunikasi operasi dan menyelamat pada waktu kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Megat Ishak dalam pada itu menasihatkan orang ramai di kawasan banjir supaya mengurangkan penggunaan telefon bimbit untuk menjimatkan bateri bagi memastikan pengguna masih dapat menggunakan perkhidmatan telekomunikasi sehingga bekalan elektrik dibaik pulih.
Beliau turut mencadangkan orang ramai di kawasan banjir supaya menggunakan siaran radio mendapatkan berita terkini dan pengumuman penting berhubung kejadian banjir sekiranya terdapat kekangan liputan talian.
“CFM tidak memandang remeh akan impak bencana alam terhadap talian komunikasi dan multimedia dan memahami kehendak pengguna untuk mendapatkan liputan yang baik terutama sewaktu kecemasan dan dalam situasi bencana alam.
“Namun, bencana alam yang mengakibatkan kerosakan infrastruktur tidak dapat dielakkan. Oleh itu, adalah penting bagi pengguna untuk memahami punca berlakunya masalah komunikasi dan mengetahui alternatif yang boleh diguna pakai semasa bencana banjir agar isu ini dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.
Beliau menjelaskan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengadakan kerjasama menyediakan beberapa buah stesen komunikasi mudah alih sebagai sokongan untuk liputan talian kepada penduduk di kawasan terjejas.
Namun, jelasnya, kemudahan itu diberi keutamaan bagi tempat-tempat yang lebih memerlukan seperti hospital. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]ns2EAkAicu8[/wpdevart_youtube]