KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.72 bilion diperuntukan dalam Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2016 bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus demi kesejahteraan kira-kira 1.7 juta warga kota.
Daripada peruntukan itu, sejumlah RM1.72 bilion disediakan bagi mengurus dan RM997 bagi pembangunan.
Bajet bertemakan ‘Kuala Lumpur Ceria, Makmur Sejahtera’ itu dibentangkan Datuk Bandar, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz, di sini hari ini.
Mhd Amin berkata Bajet DBKL 2016 itu merupakan belanjawan seimbang berlandaskan keupayaan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan walaupun dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
“Setelah mengambil kira faktor utama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warga kota, bajet ini disediakan bukan sahaja untuk melaksanakan program dan aktiviti operasi tetapi juga kesinambungan kepada projek pembangunan 2015,” katanya.
Bajet itu memberi penekanan kepada 14 fokus utama iaitu Pengurusan dan Pentadbiran; Pembersihan Bandar; Penghijauan, Penyelenggaraan Taman, Tanah Lapang dan Kemudahan Rekreasi; Penyelenggaraan Jalan Raya dan Saliran; Penyelenggaraan Lampu Jalan dan Kemudahan Sistem Lalu Lintas
Penyelenggaraan Tempat Letak Kereta, Hentian Bas dan Siar Kaki; Penyelenggaraan, Naiktaraf dan Ubahsuai Bangunan; Program Penjaja dan Peniaga Kecil; Penguatkuasaan; Program Perumahan Awam dan Rakyat; Kesihatan; Pembangunan Komuniti; Kebudayaan, Kesenian dan Sukan; serta Pelancongan.
Mhd Amin berkata bajet itu turut akan meneruskan agenda Pelan Strategik DBKL yang menggariskan lima kerangka strategi utama seperti Bandar Raya Milik Warga Kota, Bandar Raya Makmur Ekonomi, Bandar Raya Bersaring, Bandar Raya Eko, dan Bandar Raya Tadbir Urus Cekap.
Beliau berkata menerusi bajet itu juga, DBKL dijangka memperoleh hasil sebanyak RM2.29 bilion berbanding RM2.08 bilion tahun lepas, peningkatan 10.32 peratus, di mana cukai taksiran merupakan hasil utama yang akan menyumbang sebanyak 44.8 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]AxChxvlZc6c[/wpdevart_youtube]