SERDANG – Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri S. K. Devamany menang jawatan Timbalan Presiden MIC yang baharu pada pemilihan semula parti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Devamany menewaskan Naib Presiden MIC yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dengan majoriti undi sebanyak 17.
Beliau memperoleh undi sebanyak 698 berbanding Saravanan yang mendapat 681 undi.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pada pukul 3.50 petang tadi.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, dimenangi oleh bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan, bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk S. A. Vickneswaran dan bekas Bendahari Agung, Datuk Jaspal Singh.
Bagi 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pula, antara pemenangnya termasuk anak bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu iaitu, Datuk Seri S. Vell Paari serta Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan. Proses pengundian pemilihan semula bagi semua jawatan tertinggi MIC. – BHarian Online