KUANTAN – Polis Pahang dengan bantuan orang awam menahan dua suspek yang baru menyamun sebuah kedai serbaneka di sini, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek yang berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan orang awam berdekatan Jalan Teluk Sisik, di sini, tidak lama selepas menyamun 7-Eleven di Jalan Beserah di sini.
“Polis menerima maklumat 7-Eleven disamun pada 4.25 pagi oleh tiga lelaki yang memakai topi keledar dengan bersenjatakan sebilah parang dan mereka melarikan empat tin minuman keras dan lima kotak rokok.
“Ketika polis menuju ke tempat kejadian, anggota cegah jenayah ternampak orang awam telah menangkap dua lelaki yang terlibat, selain merampas sebilah parang dan dua tin minuman keras,” katanya di sini, hari ini.
Raja Shahrom berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan penggunaan dadah dan kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA