KUALA LUMPUR – ERA fm mendominasi tangga teratas stesen radio paling popular di Malaysia berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Pengukuran Pendengar Radio Nielsan.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Jake Abdullah berkata, ERA fm dilaporkan mempunyai seramai 4.7 juta pendengar, Sinar FM (3.4 juta pendengar) diikuti THR (3.6 juta pendengar).
“ERA fm, hitz fm, MY FM, dan THR Raaga tidak berganjak kedudukan mereka sebagai stesen No.1 mengikut kategori bahasa masing-masing iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
“Manakala THR Gegar turut mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio No.1 di wilayah Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Jake berkata, program JoHaRa Pagi ERA yang dikendalikan Johan, Haniff dan Ray terus menerajui segmen Sarapan Pagi tertinggi dengan 2.6 juta pendengar.
Manakala segmen Petang SATE bersama Shahrol, Dina dan Tauke di stesen tersebut dilaporkan berjaya menarik 2.5 juta pendengar seminggu.
“Sementara itu, MY FM juga kekal sebagai stesen Bahasa Cina No.1 Malaysia dengan 2 juta pendengar dan stesen MELODY FM yang dilancarkan untuk pendengar Cina matang mengalami peningkatan pendengar sebanyak 48 peratus daripada 398,000 kepada 589,000 pendengar,” katanya. – mynewshub.cc