KOTA BAHARU – Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang beroperasi di tujuh negeri iaitu Perak, Kelantan, Melaka, Pahang, Kedah, Johor dan Terengganu telah berjaya mencatatkan jualan berjumlah RM300 juta setahun.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata RTC Kelantan adalah penyumbang utama dengan hasil jualan sebanyak RM284 juta pada 2014 dan RM185 juta dari Jan sehingga Jun tahun ini.
“Ia berikutan semakin ramai penduduk di Kelantan melakukan urusan perniagaan mereka di RTC Kelantan dan kita akan tambah 400 lot perniagaan baharu berbanding 213 lot ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Makanan Popular Musim Banjir Kelantan 2015 di RTC Kelantan di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.
Ahmad berkata FAMA akan menjadikan RTC Kelantan sebagai pusat logistik di negeri ini yang meliputi aktiviti pemborongan, peruncitan dan penyimpanan barangan pertanian untuk dijual.
“Kita juga akan menjadikan RTC Kelantan sebagai ‘uptown’ (pasar malam) bermula bulan hadapan dan setakat ini sebanyak 300 peniaga telah berdaftar dengan FAMA untuk berniaga di sini,” katanya.
Mengulas mengenai karnival berkenaan, Ahmad berkata program berkenaan akan dijadikan acara tahunan di Kelantan bermula tahun ini.
Beliau berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat tentang kepelbagaian makanan tradisional masyarakat Melayu. – BERNAMA