Seorang wanita terpaksa merayu belas simpati kepada lima perompak agar memberikannya sedikit masa selepas mereka gagal mencabut cincin berlian yang dipakainya.
Ini ekoran, lima perompak itu mengugut mahu memotong jari manisnya kerana tetap menginginkan cincin perkahwinan tersebut.
Difahamkan, mangsa kemudian terpaksa menggunakan sapu dan minyak masak untuk menanggalkan cincin perkahwinan tersebut sebelum diserahkan kepada perompak.
Kejadian yang berlaku di rumah mangsa yang terletak di Taman Hijau, Ampang ini dikatakan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Menurut suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alain, ketika kejadian hanya dia dan isterinya berada di rumah memandangkan dua anaknya berada di luar negara melanjutkan pelajaran.
“Mereka (penjenayah) terus bertindak mengikat saya dan isteri menggunakan kabel pengecas telefon sebelum menyelongkar seluruh rumah untuk mencari barangan berharga.
“Sebaik mereka terlihat cincin berlian tersarung di jari tangan isteri saya, penjenayah cuba mencabutnya tetapi gagal
“Cincin itu sudah lama disarung menyebabkan ia menjadi ketat dan sukar dicabut daripada jari. Isteri saya terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak sebelum berjaya menanggalkan cincin itu.
“Sebaik memperoleh cincin itu, semua suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki kawasan hutan di belakang rumah
“Mereka melarikan wang tunai pelbagai matawang asing termasuk wang tunai RM1,000. Selain itu mereka turut melarikan pelbagai jenis barang kemas, sembilan utas jam tangan dan tiga beg galas mengandungi Ipad,” katanya yang juga merupakan warga Perancis.
Tambahnya, kerugian yang dialami adalah sekitar RM28,000 namun bersyukur dia dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas kejadian itu, Alain dikatakan telah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=Fmk5rcxEe6A&w=560&h=315]