BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berjanji akan mendedahkan rahsia atau punca sebenar beliau disingkirkan daripada jawatannya itu suatu hari nanti.
Menurutnya, dia memerlukan waktu yang sesuai kerana sekiranya hal itu didedahkan, beliau tidak menjadi tumpuan kelak.
“Saya akan menyatakan (mengenai penyingkiran sebagai Peguam Negara) pada masa akan datang. Tidak hari ini.
“Sekiranya saya mendedahkan sekarang, saya tidak akan menjadi tarikan anda pada masa akan datang,” katanya seperti yang dipetik di Free Malaysian Today.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai isu penyingkirannya sebagai Peguam Negara secara tiba-tiba pada 27 Julai lalu.
Abdul Gani ditemui di forum bertajuk ‘SOSMA – Musang Berbulu Ayam?’ selaku salah seorang panel forum yang membincangkan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), di Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Ini adalah kemunculan pertama Abdul Gani setelah beliau ditamatkan perkhidmatan lebih awal atas faktor kesihatan pada Julai lalu. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Free Malaysian Today