KUALA LUMPUR – Penonton saluran kembara pertama di dunia mengenai ASEAN, GOASEAN kini berpeluang untuk menonton siaran kegemaran mereka itu pada bila-bila masa dengan pelancaran aplikasi mudah alih GOASEAN.
Aplikasi mudah alih itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak di sini semalam.
Saluran kembara itu boleh diakses di seluruh dunia dengan memuat turun aplikasi mudah alih percuma untuk pengguna telefon pintar sistem Android dan Apple.
GOASEAN ialah saluran 24-jam dibangunkan menerusi inisiatif yang diterajui Malaysia dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-26, April lepas.
Saluran itu menyediakan pelbagai platform untuk mempamerkan ASEAN sebagai satu destinasi pelancongan dan satu pemacu ekonomi utama.
Salleh juga melancarkan sistem tempahan perjalanan dalam talian, ‘LetsGoNow’ yang membolehkan pengguna menempah penerbangan dan penginapan mengikut masa dan kemampuan mereka untuk melancong ke negara ASEAN. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]jbKnuwxdHLk[/wpdevart_youtube]