ANTALYA – TURKI. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah pada tahap yang memuaskan dengan Turki mempunyai lebih banyak skop untuk melabur di Malaysia.
Ini kerana pelaburan Turki di Malaysia berjumlah hanya AS$241 juta berbanding dengan pelaburan Malaysia di Turki sebanyak AS$2.5 bilion, kata beliau pada sidang akhbar di sini selepas melakukan kunjungan hormat serta perbincangan dua hala selama 45 minit dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Pelaburan Malaysia di Turki adalah melalui Khazanah Nasional Bhd termasuk sebanyak AS$1.4 bilion dalam bidang penjagaan kesihatan AS$714 juta menerusi Malaysian Airports Holdings Bhd dalam pembangunan dan pengendalian Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) serta Avicenna Capital Sdn Bhd dalam penyedia insurans penjagaan kesihatan Acibadem Sigorta sebanyak AS$252 juta.
Najib, selaku Pengerusi Asean, melakukan kunjungan hormat ke atas Erdogan, yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak G20 Ke-10 di Antalya dari 15 hingga 16 Nov.
Dalam pertemuan tersebut, Najib turut menyatakan dagangan dua hala antara Malaysia dengan Turki juga akan terus berkembang positif dengan langkah-langkah yang dilakukan berikutan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Turki pada Ogos tahun lepas.
“FTA tersebut telah menyebabkan dagangan dua hala antara Januari hingga Ogos 2015 melonjak 40 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” kata beliau.
Jumlah dagangan antara Januari hingga Ogos tahun ini ialah sebanyak AS$916 juta dan Najib berkata, Erdogan menyatakan kesungguhan untuk melihat perhubungan kedua-dua negara berkembang dengan mencapai sasaran AS$5 bilion menjelang 2018.
Menurut Najib jumlah pelancong Malaysia ke Turki kini mencapai 70,000 orang manakala 16,500 rakyat Turki pula melawat Malaysia, malah Turkish Airlines turut menambah penerbangan daripada tujuh kepada 10 setiap minggu.
Dari segi pendidikan, terdapat 144 pelajar Malaysia di Turki dan 236 pelajar Turki di Malaysia.
Selain itu, Erdogan juga memberitahu Najib bahawa beliau berpuas hati dengan kerjasama Petronas dan pihak Turki dalam membangunkan kawasan minyak di Iraq serta menyarankan meneroka peluang di Turkmenistan pula.
Dari segi kerjasama keselamatan pula, Najib berpuas hati dengan pemilihan firma industri pertahanan Turki iaitu FNSS yang membekalkan kenderaan tempur dan kenderaan pengangkut anggota berperisai lapan roda menggunakan teknologi Turki.
Najib berkata, beliau turut dijemput oleh Erdogan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) serta Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia yang akan berlangsung di Istanbul pada tahun depan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]QYrjkIOjDT4[/wpdevart_youtube]