KUALA LUMPUR – Syarikat perabot gergasi Sweden, IKEA merancang untuk membuka gedung ketiganya di Malaysia di Johor Baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan IKEA Malaysia, Singapura dan Thailand Christian Rojkjaer berkata perancangan tersebut masih di peringkat awal.
“Siapa tahu, kami mungkin akan ada gedung di Johor yang akan beroperasi dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi IKEA Cheras di sini, hari ini.
Syarikat berkenaan mempunyai tanah di Johor dan Perak, dan sentiasa terbuka kepada cadangan untuk membina kilang pembuatan di Malaysia, katanya.
“Ia bergantung kepada jumlah produk dan jualan, serta sama ada ia menjimatkan, tetapi kita akan melihat trend (peningkatan jumlah) di sini.
“Malaysia telah menjadi lebih berdaya saing dan lebih banyak jumlah yang ada, lagi besar kemungkinan untuk mewujudkan kilang di sini memandangkan kos pengangkutan lebih murah dan mampan,” katanya.
Di tanya mengenai kesan penurunan nilai ringgit ke atas harga produknya, Rojkjaer berkata syarikat berkenaan percaya mata wang tempatan itu akan melantun semula pada masa hadapan.
“Asas Malaysia masih kukuh dan kami tidak mengambil kira nilai ringgit (untuk pelaburan dan harga produk), walaupun kebanyakan produk kami diimport.
“Tetapi jika trend mata wang terus menurun, kami akan melihat sedikit kesan,” katanya.
IKEA Cheras di Jalan Cochrane mempunyai keluasan 42,000 meter persegi dengan 56 bilik pameran dan menawarkan 8,500 produk. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]iHI1xddh0ms[/wpdevart_youtube]