NAMPAKNYA Acong Sweetchild masih bertahan untuk terus mara ke peringkat separuh akhir Gegarvaganza 2 (GV2) selepas penaja utama program tersebut yang juga pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida memberikan imunitinya untuk menyelamatkan Acong.
Dalam konsert yang bertemakan RockDut itu, penyanyi yang mengambil bahagian diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim selain juri jemputan, pengarah popular Mamat Khalid.
Turut melangkah ke peringkat separuh akhir bersama Acong ialah Farahdhiya yang mencatatkan persembahan terbaik malam semalam, Nassier Wahab, Ezad Lazim, Siti Nordiana, Haiza dan Azian Mazwan Safuan.
GV2 menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM100,000 beserta satu single baharu terbitan Astro.
GV musim pertama dimenangi vokalis kumpulan Ilusi, Ayai manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi penyanyi Haleeda dan Mamat Exists. – MYNEWSHUB.CC