JAKARTA – Bosan dengan masalah rasuah yang sering melanda warden penjara kawalan ketat, pemerintah Indonesia berhasrat menggunakan perkhidmatan buaya sebagai pengawal bagi menggantikan tenaga manusia.
Menurut agensi berita antarabangsa AFP, pasukan antidadah Indonesia telah mengusulkan pembinaan sebuah penjara khas bagi menempatkan banduan kesalahan pengedaran dadah berat yang dijatuhi dihukum mati.
Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan didedahkan identitinya, mereka bercadang untuk membina penjara baharu tersebut di sebuah pulau terpencil yang dikawal ketat oleh sejumlah besar buaya ganas 24 jam.
Cadangan tersebut hasil idea ketua antidadah Indonesia, Budi Waseso, yang merancang untuk membuat lawatan ke beberapa tempat di kepulauan Indonesia bagi mencari sendiri buaya yang boleh mengawal penjara itu.
Beliau berpendapat binatang buas tersebut dapat mengekang tindakan banduan daripada melepaskan diri, berbanding dengan pengawal yang boleh mengambil wang rasuah untuk melepaskan pesalah jenayah berat itu.
Pihak berkuasa bagaimanapun enggan mendedahkan berapakah bilangan buaya akan bertugas dan kos upah perkhidmatan reptilia berkenaan yang dijangka bertugas 24 jam setiap hari sepanjang tahun tanpa cuti rehat.
Buat masa ini, banduan hukuman mati ditempatkan di penjara Kerobokan di mukim Badung, Bali yang dibuka sejak 1979 dan kini menampung lebih 1,000 tahanan daripada pelbagai negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA