KUALA LUMPUR – Kejayaan cemerlang pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap memecahkan rekod kebangsaan acara 100m mendapat perhatian beberapa anggota Dewan Rakyat.
Sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan hari ini, Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun), Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) meminta kerajaan supaya merancang program pembangunan yang baik untuk Badrul Hisyam.
Othman berkata Badrul Hisyam merupakan permata baharu dalam acara pecut untuk sukan olahraga negara yang telah sekian lama ketandusan bakat seperti itu.
“Untuk itu perlu ada program berterusan memastikan beliau akan dapat meningkatkan lagi prestasi. Beliau masih muda dan mempunyai potensi yang baik.
Perlu ada program yang baik dan pemilihan jurulatih yang mampu membantunya menjadi lebih baik. Mungkin boleh dihantar berlatih di luar negara,” katanya.
Shamsul Anuar pula meminta supaya jurulatih yang berjaya membentuk atlet muda itu ketika ini tidak diketepikan sama sekali dan perlu dilibatkan sekali dalam program pembangunan.
Dalam kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei baru-baru ini, Badrul Hisyam, 18, mengakhiri penantian 17 tahun apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.29s, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod lama milik Watson Nyambek pada 1998.
Badrul Hisyam kemudian mengesahkan dirinya sebagai Raja Pecut Sekolah ASEAN apabila menjuarai acara 200m dengan memecahkan rekod kejohanan miliknya.
Pada sesi perbahasan membabitkan Kementerian Belia dan Sukan itu, isu yang paling banyak dibangkitkan adalah berkenaan mutu bola sepak negara yang disifatkan sebagai memalukan.
Mereka mahu supaya kementerian melakukan tindakan segera untuk memulihkan kembali imej bola sepak negara, yang satu ketika dahulu berada di hadapan negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang kini menjadi antara negara yang hebat dalam sukan itu.
Paling lantang adalah Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, yang meminta supaya adanya satu sistem yang lebih baik dalam membangunkan bola sepak negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan ketika menggulung perbahasan itu, berkata Badrul Hisyam memang diberikan perhatian oleh kementerian itu.
“Kementerian Belia dan Sukan akan membantu beliau dengan menyediakan sistem sokongan yang sesuai sama ada di dalam atau luar negara. Beliau menjadi harapan negara,” katanya.
Shamsul Anuar kemudian mencelah meminta kementerian itu supaya atlet muda itu tidak diletakkan dalam sistem biasa yang dilaksanakan sebelum ini.
“Sistem yang kita buat sebelum ini gagal, kalau tak dah lama ada (seperti) Badrul Hisyam.. jadi kita kena keluarkan dia daripada sistem biasa, dan masukkan dia ke dalam sistem lain yang boleh membentuk dia dengan lebih baik,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]slsOkw45Lsk[/wpdevart_youtube]