IPOH – Satu pasukan khas akan dihantar ke Kampung Bunga Hilir di Belum, Hulu Perak untuk menyiasat keadaan sebenar yang dialami masyarakat Orang Asli suku Jahai di situ.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya mengharapkan pasukan itu dapat memberikan maklumat lebih jelas supaya semua pihak akan dapat mengetahui kedudukan sebenar di sana.
“Datuk Dr Mah Hang Soon selaku Exco bertanggungjawab dalam hal ehwal kesihatan akan mengadakan lawatan di kawasan terlibat,” kata Zambry dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri hari ini.
Laporan akhbar pada Selasa lepas, memetik beberapa penduduk Orang Asli di Hulu Perak mendakwa ramai mangsa penyakit serawan yang mana terdapat keputihan atau ulser di dalam mulut, meninggal dunia akibat penyakit itu.
Zambry berkata kerajaan negeri memandang serius laporan media yang melibatkan nyawa masyarakat dan rakyat negeri Perak, termasuk juga masyarakat Orang Asli.
Menurut Zambry, pihaknya telahpun membincangkan tentang laporan yang dikeluarkan akhbar berkenaan berkaitan masalah yang dihadapi suku kaum Jahai itu.
Zambry juga berkata pasukan yang diketuai Mah, turut dianggotai exco kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri selain wakil Jabatan Kesihatan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Pihak yang membuat laporan itu mungkin akan dijemput sekali (untuk menganggotai pasukan) kerana kita tidak mahu dikatakan menyembunyikan sesuatu.
“Saya mahu mereka ikut sama, kita perlu telus mengenai perkara ini, Ini membabitkan nyawa manusia, jadi tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Apa yang penting adalah semua pihak akan tampil dan bekerjsama untuk memastikan masalah ini diatasi bersama,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]KVT4Csq-K-A[/wpdevart_youtube]