KUALA LUMPUR – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak melibatkan sebarang pindaan ke atas perlembagaan, sekali gus tidak akan menggugat kedaulatan negara, jamin Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata sebaliknya TPPA akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pedagang yang lebih kompetitif.
Selain itu, TPPA juga menggalakkan pelaksanaan standard berdagang yang lebih tinggi di kalangan negara-negara ahli, mengikut piawaian antarabangsa seperti hak yang lebih baik kepada buruh dan penjagaan alam sekitar yang lebih lestari, katanya.
“Ini mungkin hanya akan melibatkan penambahbaikan kepada undang-undang dan peraturan berkenaan yang sedia ada.
“(TPPA) tidak melibatkan pindaan kepada perlembagaan kita,” katanya pada majlis Penerangan Perdana di PWTC di sini, hari ini.
Selain Malaysia, 11 negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Singapura, Brunei, Vietnam, Amerika Syarikat (AS), Kanada, New Zealand, Australia, Peru, Chile dan Mexico.
Rundingan TPPA dimulakan pada 2005 dan telah dimuktamadkan pada 5 Okt lepas.
Mustapa menjelaskan kandungan TPPA dan dua kajian impak akan dibentang di Parlimen pada Januari depan.
“Parlimen akan bahas dan buat keputusan untuk tandatangan (TPPA) pada akhir Januari 2016, manakala ratifikasi perjanjian akan dibuat dua tahun selepas tandatangan,” katanya.
Mustapa berkata di bawah TPPA, Malaysia bakal memperoleh akses pasaran yang lebih luas untuk industri Malaysia, khususnya ke pasaran Latin Amerika, selain menikmati pengecualian cukai ke atas eksport ke negara anggota TPPA.
Mengambil contoh barangan getah, beliau berkata buat masa ini, eksport barangan itu ke AS dikenakan duti antara dua hingga 14 peratus, namun selepas TPPA, duti itu akan dimansuhkan.
Mengenai ubat-ubatan, Mustapa berkata perlindungan paten ke atas ubatan di Malaysia di bawah TPPA akan dikekalkan kepada 20 tahun seperti sedia ada.
Katanya kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan perlindungan lima tahun bagi ubatan biologik seperti yang dikuat kuasa sejak 2011.
Tambahnya, jika Malaysia berhasrat untuk menyertai perjanjian itu kemudian hari, ia akan terpaksa menerima semua terma dan syarat yang ditetapkan oleh negara pelopor, berbanding Malaysia menpunyai kuasa berunding dan menetapkan syarat sekarang apabila menjadi antara negara pelopor TPPA.
“Malaysia menyertai rundingan TPPA mengikut terma dan syarat kita sendiri, dan itu akan memastikan kepentingan negara terjamin,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Jz2ZiNx2PBA[/wpdevart_youtube]