JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor berhasrat membuka lebih 100 kedai harga patut di seluruh negeri dalam tempoh tiga tahun dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat permulaan, sebanyak 20 kedai yang dikenali sebagai 1MCoop (1MalaysiaCoop) itu akan dibuka 28 Nov ini manakala 50 lagi dirancang dibuka tahun depan.
“Kedai ini akan diusahakan oleh gabungan beberapa koperasi di negeri ini dengan setiap anggota koperasi akan secara automatik menjadi anggota kedai harga patut itu,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra “Khaled Prihatin” dan pelancaran Sukarelawan Pasir Gudang (PG) Troopers di Kampung Baru Pasir Gudang, di sini hari ini.
Beliau berkata, selain harga barangan yang murah, setiap anggota koperasi juga akan menikmati diskaun tiga peratus bagi pembelian barangan sekali gus menunjukkan ia merupakan cara terbaik membantu masyarakat berhadapan kos sara hidup yang tinggi.
Katanya, menggunakan konsep koperasi, 1MCoop akan membuka peluang perniagaan dan pembangunan seluruh rangkaian nilai merangkumi aspek pergudangan, pemasaran, penjenamaan, pengedaran dan pembungkusan.
“Kerajaan Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sudah bersetuju memperuntukkan RM10 juta manakala sebanyak RM17 juta lagi akan dikeluarkan sendiri gabungan koperasi yang terlibat dalam usaha menjayakan hasrat penubuhan 1MCoop itu,” katanya.
Mengenai tinjauan mesra “Khaled Prihatin”, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata ia merupakan program baik pulih kediaman dan infrastruktur yang meliputi beberapa aspek termasuk keperluan asas, pendawaian, perpaipan, mengecat dan hiasan dalaman.
Beliau berkata 10 rumah melibatkan keluarga kurang berkemampuan dipilih menerusi fasa pertama dengan kos baik pulih setiap rumah dianggar sebanyak RM5,000 yang ditanggung Yayasan Pasir Gudang.
“Pasukan Sukarelawan PG Troopers yang terdiri daripada 300 belia, pelajar dan komuniti penduduk Pasir Gudang kemudian digerakkan di samping pelaksanaan “Khaled Prihatin” dengan menawarkan khidmat bakti sosial seperti melakukan kerja pendawaian, perpaipan, mengecat dan menghias dalaman rumah,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]HXA80MYy_8M[/wpdevart_youtube]