PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran umum kepada rakyat Malaysia di luar negara terhadap menghina agama orang lain.
“Menghina agama orang lain, merendah-rendahkan budaya orang lain, mengoyak muka surat Al-Quran dan menggunakannya sebagai kertas tandas… ini adalah satu penghinaan. Tindakan ini adalah kurang ajar” katanya.
Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kebebasan bersuara tidak bermakna boleh menghina kepercayaan orang lain.
“Saya telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menggunakan apa juga kuasa yang ada untuk menangani individu kurang ajar ini, walaupun ia perlu dilakukan di luar negara.
“Individu ini tahu dia boleh melakukannya di luar negara kerana dia berada di sebuah negara yang tidak akan mengambil tindakan terhadapnya.
“Tetapi apa yang dia telah dilakukan sudah melampaui batas, dan kerajaan tidak akan bertolak ansur mengenai perkara ini. Tindakan akan diambil.
“Walaupun kita mempunyai perbezaan pendapat, kita masih berpegang kepada etika dan kita mesti menghormati agama dan kepercayaan orang lain , “kata Dr Ahmad Zahid, dalam ucapannya di  Hari Inovasi 2015 baru-baru ini.
Walaupun beliau tidak menamakan sesiapa secara khusus, komen Dr. Ahmad Zahid itu jelas merujuk kepada posting Facebook baru-baru ini oleh penulis blog seks kontroversi, Alvin Tan.
Khalid, yang turut hadir pada majlis itu, memberitahu pemberita kemudian bahawa tindakan akan diambil terhadap Alvin, walaupun beliau tidak mengulas lanjut.
“Jangan berikan ‘beruk’ ini publisiti, itulah yang dia mahu,” kata Tan Sri Khalid. -MYNEWSHUB.CC