HANYA kerana tidak dapat berlakon mengikut apa yang diinginkannya, seorang pengarah didakwa telah menumbuk pelakon comel Ika Nabella di set penggambaran drama Dawai Asmara di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Memetik laporan BH Online, Ika yang juga peserta Akademi Fantasia musim keenam dikatakan ditumbuk di bahagian muka dan badan bertubi-tubi.
Akibat insiden itu, Ika mengalami kecederaan hingga mulutnya tidak dapat dibuka.
Difahamkan, ini bukanlah kejadian pertama seumpamanya kerana sebelum ini terdapat dua lagi pelakon pernah dipukul dengan pengarah yang sama namun hanya bertindak berdiam diri.
Sementara itu, Ika menerusi aplikasi WhatsApp mengakui dia dipukul oleh pengarah tersebut namun enggan mengulas lanjut.
“Ya, saya memang dipukulnya,” kata Ika ringkas.
Susulan kejadian itu, dia dikatakan akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu hari ini.
Ika merupakan pelakon yang memegang watak utama dalam Dawai Asmara yang akan ditayangkan di slot Azalea TV3 tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH Online