PENASIHAT Kelab Ekspedisi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles tiba di Antartika pada Jumaat, bagi memberi sokongan kepada Ekspedisi Jelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015′.
Beliau berkata, perjalanan ke benua sejuk itu bukanlah satu perkara mudah kerana perlu melalui pelayaran penuh debar selama empat hari.
Bagaimanapun, pengalaman menakutkan itu dianggap berbaloi dan beliau bersyukur kerana telah menempuhnya.
“Alhamdulillah saya selamat sampai di Antartika pukul 8.30 malam tadi (waktu Malaysia) selepas belayar selama empat hari dengan dua hari berturut-turut dipukul ribut gelombang setinggi 10 meter.
“Ianya pengalaman yang menakutkan tapi berbaloi dan saya bersyukur,” ujar beliau kepada Mynewshub.
Kedatangan Akmar ke Antartika bagi menyusul satu-satunya peserta solo negara, Shahrom Abdullah yang berlepas ke sana 12 November lalu dan dijangka memulakan misi mengharumkan nama negara, bermula hari ini.
Shahrom, Peserta Solo Negara Sudah Bersedia Takluk Antartika
Kemaskini di laman Facebook milik Shahrom menunjukkan, beliau sudah berada di peringkat akhir dengan menghadiri taklimat pra-penerbangan.
Bagi menyudahkan misinya, Shahrom akan menjelajah sejauh 1,000 kilometer (km) dengan berski sejauh 25 km sehari.
PM Lancar Ekspedisi Rentas Kutub Selatan
Ekspedisi Jelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015′ merupakan misi terbaharu mengharumkan nama Malaysia di bawah KE7B yang sudah lapan tahun ditubuhkan.
Misi terdahulu KE7B telah merekodkan pelbagai kejayaan anak tempatan termasuk tujuh orang berjaya menawan puncak Everest, lapan orang merentas Greenland serta tujuh lagi, berjaya berenang merentasi Selat Inggeris. – MYNEWSHUB.CC