TERNYATA percaturan penyanyi Faradhiya menyertai program Gegarvaganza musim kedua membawa kegembiraan buat penyanyi kacukan Melayu-Inggeris ini.
Ini kerana bakat nyanyiannya kini kian diberi perhatian malah dia juga sudah mula mengumpul peminat baharu yang menyukai kelunakan suaranya.
“Saya rasa bagaikan bayi yang baharu dilahirkan dan tiba-tiba mendapat perhatian. Impak Gegarvaganza 2 tak saya nafikan. Ia platform terbaik. Ikutkan saya tak pernah berhenti menyanyi selama ini. Cuma yang orang nampak saya berlakon kerana produknya keluar TV. Hakikatnya saya masih menerima tawaran menyanyi secara tertutup untuk persembahan makan malam.
“Jadi apabila saya tak menyanyi di depan khalayak, orang mula anggap saya sudah tidak lagi menyanyi. Satu perkara yang bagus menyertai Gegarvaganza ini ialah orang yang selama ini tidak tahu saya boleh menyanyi secara langsung sudah mula menilai bakat saya sebenarnya. Alhamdulillah, pertandingan ini umpama ‘come back’ dengan platform yang bagus,” ujarnya memetik laporan Berita Harian.
Setakat ini, Faradhiya merupakan pesaing terhebat GV2 selain Siti Nordiana dan Ezad Lazim yang dikatakan berpeluang meraih gelaran juara berdasarkan persembahan konsisten yang dipamerkan saban minggu.
Untuk minggu hadapan yang bertemakan RockDut, Faradhiya akan membawakan lagu band popular Metallica, Enter Sandman.