Ipoh – Lebih 100 kereta ditahan dan diperiksa polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana terbabit dalam kegiatan lumba haram di Persiaran Meru Raya 3, di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan 2 pagi itu, beberapa pemilik kereta didapati beradu kelajuan kenderaan masing-masing manakala ratusan lain adalah penonton yang menyaksikan perlumbaan haram di laluan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu.
Kesemua pemilik dan kenderaan yang ditahan itu kemudian diperiksa membabitkan kesalahan mengubahsuai kenderaan serta saman trafik yang tertunggak selain kesalahan lalu-lintas yang lain.
Sehingga 5.30 pagi tadi pemeriksaan masih dilakukan dan kebanyakan yang ditahan adalah golongan muda dari sekitar bandar raya ini serta beberapa daerah lain.
Kegiatan lumba haram itu difahamkan diadakan pada malam minggu sejak dua minggu lalu dan maklumat turut mendapati ia mendapat sambutan hangat dari ramai pemilik kereta termasuk dari Pulau Pinang yang datang untuk berlumba. – myMetro Online