KUANTAN – Malaysia terus menyaksikan peningkatan jumlah pelancong perubatan atau pelancong kesihatan – orang yang berkunjung ke destinasi pelancongan dengan tujuan utama bagi mendapatkan rawatan perubatan atau kesihatan.
Statistik menunjukkan negara memberi rawatan kepada 641,000 pelancong perubatan pada 2001. Pada 2012, angka itu meningkat kepada 728,800, pada 2013 bertambah kepada 881,000 dan 2014 mencecah 882,000 orang.
Kebanyakan daripada pelancong ini adalah daripada rantau Asean, dan majoriti mereka daripada Indonesia.
Kenapa keadaan ini berlaku? Alasannya mudah iaitu Malaysia menyediakan rawatan perubatan kelas pertama menerusi pakar-pakar terlatih dan kemudahan amat baik, menjadikan negara antara penyedia perubatan terbaik di rantau ini.
Keadaan ini tidak mengejutkan kerana Malaysia mempunyai sejumlah pakar bedah ortopedik berkelayakan yang telah melakukan banyak pembedahan pada kos rendah tanpa kompromi terhadap kualiti berbanding dengan perkhidmatan dan prosedur yang amat mahal di negara-negara maju, kata Datuk Dr N. Premchandran, ketua pakar bedah ortopedik negara dan penasihat ortopedik di Kementerian Kesihatan.
Malaysia mempunyai lebih 250 pakar bedah ortopedik di lebih 50 hospital di bawah kementerian dan 400 pakar bedah yang berkhidmat di universiti-universiti dan sektor swasta, katanya.
“Sejak 1970-an dan 1980-an, universiti-universiti tempatan telah menjalankan program empat tahun untuk mengeluarkan pakar bedah ortopedik. Kami mengeluarkan antara 35 dan 40 pakar bedah setiap tahun,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital (HTAA) di sini hari ini.
Dr Premchandran berkata pakar bedah berkelayakan akan dipilih untuk menjalani latihan selama tiga tahun dalam pelbagai subkepakaran ortopedik seperti artroplasti (sendi), surgeri tulang belakang, kecederaan akibat bersukan
dan artroskopi (lutut), ortopedik pediatrik, ortopedik onkologi, tangan dan mikrosurgeri dan ‘advanced musculoskeletal trauma’.
Mereka menjalani latihan selama dua tahun di dalam negara dan kemudiannya dihantar ke luar negara, atas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, di pusat-pusat terkemuka di negara maju seperti Australia, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom, katanya.
“Ini meningkatkan pendedahan mereka kepada peralatan, teknik, idea dan tip terkini untuk melakukan pembedahan terbaik. Mereka juga perlu menerbitkan kertas kerja, membuat pembentangan dan mengambil peperiksaan sebelum dipertimbangkan sebagai subpakar,” katanya.
Dr Premchandran berkata pelbagai persidangan ortopedik saintifik antarabangsa turut diadakan di Malaysia dengan penyertaan perunding terkemuka serta penceramah dan fasilitator.
“Mesyuarat seumpama itu turut mengadakan simposium, demonstrasi ‘cadaveric’ dan pembedahan secara langsung sebagai sebahagian daripada program. Kami dapat bertukar-tukar pengalaman mengenai prosedur, idea, teknik dan tip terkini untuk melakukan pembedahan dengan lebih baik,” katanya.
Dr Premchandran, yang juga perunding kanan ortopedik trauma dan pakar bedah artroplasti serta Ketua Jabatan Ortopediks/Traumatologi di HTAA, berkata unit ortopedik yang pertama diwujudkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas Perang Dunia Kedua, pada 1949 dan diketuai Dr J. A. P. Cameron, disusuli Dr Donald Gunn.
Pada akhir 50-an, pakar bedah ortopedik Tanah Melayu yang pertama, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail, mengambil alih sebagai ketua unit itu.
Dr Premchandran menjelaskan lebih banyak pembedahan “keyhole†dilakukan oleh banyak pakar menggunakan artroskop yang meminimumkan kerosakan tisu dan dengan itu memberikan lebih keselesaan kepada pesakit, pemulihan lebih cepat dan dibenarkan keluar hospital lebih cepat.
“Ini memerlukan melakukan tebukan kecil sepanjang satu atau dua sentimeter, yang melaluinya dimasukkan kamera dan alat portal bagi melakukan prosedur dan pada masa sama melihat visual kawasan pembedahan melalui monitor televisyen.
“Ini khususnya amat berguna dalam surgeri pada sendi seperti lutut, bahu, buku lali dan pinggul,” katanya.
Ini merupakan pembedahan rutin yang dilakukan oleh pakar bedah ortopedik berkelayakan di Malaysia di kebanyakan hospital, katanya dan menurutnya oleh itu tiada keperluan untuk pesakit mendapatkan rawatan di luar negara.
Sebagai contoh, di Pahang, ia dilakukan di hospital di Kuantan, Temerloh dan malahan di Kuala Lipis, katanya.
“Betapa kompleksnya prosedur dilakukan oleh pakar artroskopi akan bergantung pada kes. Pembedahan yang lebih besar dirujuk ke hospital-hospital negeri atau pusat-pusat rujukan di negara ini.
“Di tempat yang tiada subpakar tetap, seorang daripada hospital negeri akan melakukan lawatan secara mingguan atau bulanan untuk memberikan konsultasi dan rawatan,” katanya.
Beliau memberikan jaminan bahawa rawatan terbaik diberikan pada setiap masa tanpa mengira siapa pesakit itu.
Dr Premchandran berkata sesiapa sahaja boleh mengalami masalah pada sendi kerana ia merupakan proses penuaan tetapi ia mungkin boleh berpunca daripada pengerakan atau penggunaan secara berlebihan, seperti dalam kes ahli sukan.
Bagi pesakit ini, berlaku kerosakan pada otot, tulang rawan dan kapsul ligamen, dan mungkin juga melibatkan tulang, katanya.
Memberikan contoh kecederaan pada bahu, katanya simptom yang biasanya dialami pesakit ialah kesukaran melakukan aktiviti rutin seperti menyikat rambut, memakai baju, memberus gigi dan tidak mampu mengangkat tangan pada
ketinggian tertentu.
“Walaupun tidak mengancam nyawa, pesakit menghadapi ketidakupayaan untuk berfungsi dan kesakitan dialami adalah merengsakan. Intervensi pada peringkat awal boleh mendorong pemulihan lebih baik, dan pesakit lebih muda pulih lebih cepat daripada pesakit berusia,” katanya.
Pilihan rawatan akan banyak bergantung pada umur, darjah tahap aktiviti patalogi pada masa depan, jangkaan dan morbiditi bersama perubatan lain yang berkaitan, katanya dan menambah dengan itu rawatan adalah berbeza iaitu daripada fisioterapi konservatif dan analgesik (ubat penahan sakit) sehingga pembedahan kompleks.
Pesakit dinasihat mengubah suai aktiviti harian mereka dan diajar senaman menguatkan otot yang mungkin boleh dilakukan di hospital dan kemudiannya di rumah, dengan pemantauan berkala oleh ahli terapi, katanya.
“Ubat dan suntikan steroid akan membantu melegakan rasa sakit. Dalam kes lebih teruk, pembedahan kecil dalam bentuk prosedur artroskopik akan dipertimbangkan.
“Oleh kerana tebukan yang dibuat amat kecil, pesakit pulih dengan lebih cepat dan mungkin dibenarkan keluar hospital pada hari sama. Sekiranya ini gagal, pembedahan besar akan dinasihatkan, dan dalam kes sebegini, pesakit
mungkin perlu berada di hospital kira-kira seminggu.
“Objektif setiap peringkat itu adalah untuk membolehkan pesakit melakukan aktiviti kehidupan seharian,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]9GXr9ghRzBg[/wpdevart_youtube]