KUALA LUMPUR – Portal berita tempatan, Malaysiakini dan The Star Online, pada Sabtu disiasat pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ia berikutan penyiaran artikel mengenai pertukaran seorang Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang didapati berunsur fitnah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang pegawai Jabatan Peguam Negara pada Selasa lepas.
“Pegawai itu mendakwa laporan berita berkenaan telah menjejaskan nama baik agensi terbabit (Jabatan Peguam Negara),” katanya ketika dihubungi agensi berita rasmi Bernama, malam Jumaat.
Zainuddin berkata pihaknya bersama pasukan JSJ Putrajaya dan SKMM telah hadir di kedua-dua pejabat portal berita itu di Petaling Jaya, Selangor kira-kira 6 petang Jumaat untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung artikel dikeluarkan mereka yang digunakan, seterusnya mengenal pasti pengarang terbabit untuk diambil keterangan,” katanya. – BERNAMA