BAGAN SERAI – Seorang maut, seorang parah manakala 11 lagi selamat dalam kemalangan yang membabitkan empat kereta di Kilometer 197.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.50 pagi, wanita yang maut terperosok di bawah kenderaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Azmir Hassan berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 pagi, segera bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, anggota yang tiba di lokasi mendapati seramai 13 mangsa terbabit kemalangan di mana tiga dari mereka tersepit dalam kenderaan serta seorang lagi mangsa maut terperosok di bawah sebuah kenderaan yang remuk.
“Pihak kami menggunakan kit keselamatan dan mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superindan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – BHarian Online
[wpdevart_youtube]oxeLVBkwXCE[/wpdevart_youtube]