KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin parti itu akan muncul sebagai parti yang terkuat di Malaysia melalui kuasa media sosial.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, PKR parti yang akan mencetuskan gelombang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Katanya, penyokong PKR mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan media sosial kononnya untuk menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Dalam perjuangan politik hari ini kita perlu menggunakan pelbagai perkakas media sosial dan teknologi.
“Kemahiran menggunakan media sosial dan pelbagai teknologi baru dalam komunikasi akan memberikan kita kelebihan dalam perjuangan. Ini adalah ruang kepakaran anak muda,” katanya semasa merasmikan Kongres Angkatan Muda dan Wanita Keadilan 2015.
Mohamed Azmin dalam pada itu memberitahu bahawa kononnya penjawat awam di Selangor kini telah membuktikan dan menyatakan kesetiaan mereka kepada PKR.
Beliau dalam pada itu menuduh Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia baru-baru ini konon gagal membentuk muafakat ASEAN.- Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]ZHEZHfC08ZY[/wpdevart_youtube]