KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menubuhkan bilik operasi bagi menjawab pelbagai isu berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Kita berharap dapat menjawab semua soalan satu per satu mengikut tajuk. Antara isu utama umpamanya berkaitan ubat-ubatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MY ASEAN Internship bagi sesi 2016.
Mustapa berkata ‘opssroom‘ tersebut akan beroperasi setiap hari dalam usaha meningkatkan penglibatan rakyat yang ingin memahami secara mendalam mengenai TPPA.
Mengulas mengenai reaksi yang diterima selepas pendedahan dokumen TPPA pada Khamis, Mustapa berkata MITI menerima pelbagai maklum balas.
Katanya dokumen tersebut sedikit sebanyak berhasil mengubah persepsi dan salah faham rakyat bahawa kerajaan telus dalam isu berhubung TPPA.
“Apabila (dokumen tersebut) didedahkan, ada yang tidak percaya dan masih ingat kita (kerajaan) nak sembunyikan.
“(Kini), masyarakat dapat mengetahui dengan jelas tentang TPPA dan kefahaman mengenai TPPA bertambah,” katanya.
Mustapa berkata bagi pihak kerajaan, rakyat perlu didedahkan kepada faedah dah kos TPPA secara keseluruhan. – BERNAMA