KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa memutuskan bahawa Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dipecat atas pelanggaran disiplin parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, setakat ini hanya Hamidah yang diambil tindakan biarpun terdapat hal berkaitan juga diutarakan dalam mesyuarat parti berkenaan.
Keputusan di luar jangkaan itu sama sekali mengejutkan pelbagai pihak khasnya penganalisis politik tanah air yang menjangka UMNO bakal mengambil tindakan ‘keras’ ke atas tujuh pemimpin.
Sebelum ini beberapa portal propembangkang ‘memainkan’ isu konon pemecatan pemimpin kanan UMNO yang dipercayai sebagai dalang merancang mahu ‘merampas’ kuasa daripada Najib.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, namun enggan mendedahkan senarai nama pemimpin yang kini disiasat lembaga disiplin parti.
Ini menyebabkan ramai menjangkakan antara terlibat ialah Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang digugurkan daripada jemaah Kabinet.
Ini kerana kedua-duanya begitu lantang mempertikaikan beberapa tindakan Najib malah turut ‘senada’ bersama dengan bekas presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun Muhyiddin dan Mohd. Shafie mengundi menyokong usul Bajet 2016 di Parlimen pada minggu lalu sekali gus menggagalkan rancangan pembangkang ‘menggulingkan’ Perdana Menteri.
Dalam pada itu Majlis Tertinggi turut memutuskan mesyuarat sayap untuk Perhimpunan Agung UMNO kali ini tidak dijalankan serentak, sebaliknya akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing.
“Ini adalah atas permintaan daripada ketua sayap itu sendiri dan semua ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menghormati keputusan mereka,” kata beliau lagi dalam sidang media di sini pada Selasa.
Najib turut memberitahu pemberita mengenai rasional mesyuarat tersebut perlu diadakan di bangunan Parlimen dan bukan kelaziman di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, PWTC.
“Mesyuarat dibuat di bangunan Parlimen kerana takut jika ada pengundian usul berlaku di sidang parlimen dan kita mahu pastikan kehadiran orang kita (anggota Parlimen BN) cukup,” katanya.
Ini merupakan kali pertama mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan di Parlimen bagi membincangkan persiapan parti pemerintah itu menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada bulan depan.
Mesyuarat kali ini tidak dihadiri Muhyiddin dan Mohd. Shafie selain tiga Menteri Besar iaitu Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (Perak), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Kedah) dan Datuk Seri Khaled Nordin (Johor).
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA