KUALA TERENGGANU – Aktiviti pelancongan di beberapa pulau peranginan di negeri ini mula dihentikan bermula awal bulan ini berikutan musim tengkujuh yang mula melanda kawasan pantai timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata lazimnya, operasi di pulau peranginan tersebut dihentikan sementara sebelum operasi disambung semula sepenuhnya Mac depan.
Beliau berkata bagaimanapun, sekiranya terdapat permintaan dan tempahan daripada pelanggan, masih ada hotel dan pulau yang menerima kedatangan pelancong, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.
“Sebahagiannya telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja.
“Kebanyakan pengusaha sudah mula membuat persediaan bagi menghadapi peralihan monsun ini kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Jidin berkata pada musim tengkujuh, biasanya pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan dan ada yang menghantar kakitangannya menjalani kursus.
“Namun, pelancong masih mempunyai alternatif destinasi pelancongan lain di negeri ini seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa kepada pelancong untuk bertandang ke Terengganu,” katanya. – BERNAMA