KUANTAN – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Felda Bukit Goh di sini ditemui mati lemas di bekas lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh.
Mangsa, Nabil Ariff Shaari, 14, dari Taman Impian dikatakan mangsa pertama yang direkodkan lemas di daerah ini sejak lombong berkenaan dibuka.
Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Othman Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, mangsa dipercayai mandi bersama lima rakan lain.
Beliau berkata, ketika sedang mandi, seorang daripada rakannya menyedari mangsa terkapai-kapai meminta tolong.
“Bagaimanapun, rakannya gagal membantu mangsa kerana paras air di tempat mangsa agak dalam,†katanya.
Menurutnya, sebaik ditemui mangsa disahkan mati lemas dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Othman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Noraina Anang, 42, menyifatkan anaknya, Nabil Ariff sebagai seorang yang sangat suka membantu dan akrab dengan adik-beradiknya.
Menurutnya, anak ke empat dari lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini sebaliknya sentiasa ceria dan bersikap seperti biasa.
“Malah kami sekeluarga juga tak sangka dia pergitinggalkan kami petang semalam (kelmarin),†katanya.
Dia berkata, paling terkesan ialah adik-beradiknya yang lain kerana hubungan mereka sangat rapat.
Noraina berkata, sebagai ketua kelas di sekolahnya, Allahyarham Nabil Ariff juga seorang yang sangat suka membantu dan mempunyai ramai kawan di sekolah dan kawasan tempat tinggal mereka.
“Dia bercita-cita jadi seorang chef dan di sekolah juga aktif memasak dan ambil mata pelajaran itu sebagai persediaan awal untuk jadi tukang masak,†katanya.
Menurutnya, dia dimaklumkan rakan mangsa kira-kira jam 5 petang bahawa mangsa lemas dalam bekas lombong kira-kira 20 minit perjalanan dari rumahnya.
“Semalam (kelmarin) dia balik awal dari sekolah sebab hari Jumaat, selepas bersiap dia terus keluar bersama beberapa kawan. Tapi lepas solat Jumaat dia tak balik sehingga kami diberitahu dia lemas di bekas lombong,†katanya. – Sinar Harian Online