KUALA LUMPUR – Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM) kini melihat kepada pelaksanaan perkara untuk tindakan di bawah Pelan Tindakan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) 2025, selepas pelaksanaan sepenuhnya Pelan Tindakan APSC 2015.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berkata mesyuarat gembira bahawa Pelan Tindakan APSC 2015, antara perkara dibincangkan pada mesyuarat Prep-SOM yang berakhir hari ini, telah dilaksanakan sepenuhnya.
“Kami membincangkan secara panjang lebar beberapa isu kepentingan bersama dan juga membincangkan persediaan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan dalam dua hari akan datang,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Katanya Menteri-Menteri Luar ASEAN akan bermesyuarat esok pada Mesyuarat APSC ke-13 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-17.
Isu dibincangkan pada mesyuarat Prep-SOM hari ini termasuk pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) dan Konsultasi Kod Tatalaku (COC).
Beliau berkata negara anggota ASEAN perlu mengambil perhatian hasil Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China mengenai Pelaksanaan DOC ke-15 dan SOM ASEAN-China mengenai DOC ke-10.
Menurut Othman, isu lain yang dibincangkan adalah berkaitan dengan permohonan Timor Leste untuk menjadi anggota ASEAN dan implikasinya terhadap APSC.
“Berdasarkan laporan kajian berhubung permohonan menjadi anggota oleh Timor Leste, negara anggota ASEAN berharap ia dapat disiapkan menjelang separuh pertama tahun ini,” katanya. – BERNAMA