ANTALYA, (Turki) – Rata-rata kalangan pemimpin Kumpulan 20 (G20) berpendapat bahawa Islam bukan menjadi masalah dan harus memisahkan tindakan radikalisme dengan ajaran Islam yang sebenar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Maknanya, yang menjadi masalah itu bukan Islam, tetapi bagaimana Islam diselewengkan untuk kepentingan kumpulan IS.
“Mereka (pemimpin G20) menggunakan perkataan ‘perverted’ (memutarbalikkan), Islam telah diputarbalikkan oleh IS,” kata Najib.
Najib berkata sememangnya tidak dapat dielakkan sekiranya kejadian di Paris dikaitkan dengan puak militan Islam kerana kejadian serupa pernah berlaku di Paris sebelum ini, malah juga di Ankara, Turki.
Oleh itu, kebimbangan orang ramai terhadap Islam dapat dilihat, kata Najib pada sidang akhbar di sini selepas menghadiri sesi makan malam pemimpin G20 sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
Najib berada di sini, bagi lawatan kerja tiga hari sempena Sidang Kemuncak G20 ke-10 dan mengambil bahagian dalam acara tersebut dengan kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN.
Pada sidang akhbar berkenaan, Perdana Menteri turut diminta mengulas mengenai pandangan beberapa pihak di Eropah bahawa militan IS mungkin menyusup dalam kalangan pelarian Syria di sana dan bagaimana tindakan Malaysia terhadap cadangan untuk membawa masuk pelarian Syria ke negara ini.
Najib berkata penapisan terhadap pelarian Syria ini boleh dilakukan oleh agensi keselamatan negara.
“Kita akan buat penapisan melalui agensi berkenaan untuk pastikan mereka tidak ada rekod di negara asal atau Interpol yang buat kita sangsi tentang pendirian mereka ataupun kita merasai mereka boleh jadi seorang radikal sekiranya kita terima mereka nanti,” katanya.
Menurutnya, langkah pertama yang boleh dilakukan ialah mengambil mereka yang sudah berada dan bekerja di Malaysia tetapi saudara mara mereka masih berada di luar sana. – BERNAMA